Wednesday, July 30, 2008

Round 4, Desaru preview

Team Manager, Garry Chua gives his take



Navigator Wayne Cheah on their chances in Desaru

Pusingan Desaru dijangka laju dan mencabar



Pusingan keempat Kejuaraan Rali Malaysia 2008 akan menjelajah ke pelusuk baru dan memperkenalkan bandar peranginan Desaru sebagai destinasi pertarungan yang menjanjikan perlumbaan yang menarik.
Menurut pengurus Pasukan Rali Perodua M5, Garry Chua laluan di Desaru memiliki banyak persamaan dengan ladang kelapa sawit Lepar Hilir, Kuantan yang menjadi tuan rumah pusingan ketiga.



Garry Chua


“Menurut tinjauan awal pemandu kami, laluan di Desaru agak keras dan laju dan pada pendapat mereka ia hampir sama dengan laluan yang digunakan di Kuantan.
“SS baru di Desaru juga bermakna ia baru selesai diratakan dan ini menambah lagi persamaan antara pusingan ini dan yang sebelumnya.
“Laluan yang baru diratakan sudah tentu membolehkan kereta dipandu lebih laju, tetapi pada masa yang sama ia juga adalah lebih licin dan ini merupakan perkara yang perlu diambil kira oleh para peserta.
Chua yakin jentera Perodua Myvi 4WD Turbo dan Viva 4WD Turbo dijangka dapat memberi saingan kepada semua peserta lain, termasuklah mereka yang memiliki enjin yang jauh lebih besar.
“Seperti biasa kami optimistik dengan peluang pasukan, pada hujung minggu ini kami berharap dapat meletakkan dua kereta di atas podium keseluruhan.



“Kami berusaha keras sepanjang tempoh antara pusingan bagi memperbaiki prestasi kedua dua jentera dan sudahpun bersedia untuk bertarung.
Tumpuan para mekanik dan juruteknik pasukan difokuskan ke arah usaha menambah kuasa enjin Myvi 4WD Turbo bagi membolehkan ia bersaing dengan Viva 4WD Turbo yang kini merupakan tonggak pasukan Perodua M5.
“Selain dari menambah kausa pada Myvi 4WD Turbo, para mekanik juga sedang memperhaluskan talaan dan binaan kereta ini agar ia dapat dipandu dengan lebih jitu dan dapat bertahan ketika melalui laluan keras di Desaru.
“Tumpuan juga diberikan kepada sistem suspensi yang perlu dijadikan lebih lasak bagi menempuh laluan mencabar di Desaru,” tambah Chua lagi.


Wayne Cheah

Bagi juruarah, Wayne Cheah yang akan berganding dengan Kan Chee Hong buat kali kedua, isu laluan baru bukanlah sesuatu yang besar.
“Pada saya ia serupa seperti laluan sebelum ini, yang pentingnya saya perlu memastikan nota pemanduan lengkap supaya ia dapat membantu Kan memandu dengan laju tetapi selamat.
“Hakikatnya, semua nota dicatat menurut kehendak pemandu dan sekiranya mereka memerlukan lebih banyak petanda mengenai SS, tugas saya ialah memastikan ianya diberikan semula kepada pemandu ketika bersaing.
“Walaupun saya tidak pernah melalui laluan di Desaru, ia tak sepatutnya memberi masalah kerana kami faham tugas kami,” katanya.





Pusingan keempat akan dilepaskan pada malam ini (jumaat) oleh Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Osman Said.

Thursday, July 10, 2008

Perodua Viva 4WD menumpaskan gergasi di Kuantan.

Selain dari terus mendominasi kelas P9, Perodua Viva 4WD Turbo taruhan pasukan Perodua M5 juga berjaya menumpaskan gergasi yang jauh lebih besar di pusingan ketiga Kejuaraan Rali Malaysia 2008 di Kuantan.

Pemandu, Lim Leong Onn dan juruarah Khairul Anuar Mohd Razzali sekali lagi dapat meletakkan jentera kecil mereka di atas podium setelah menduduki tempat kedua di belakang juara rali kebangsaan, Karamjit Singh yang memandu Mitsubishi Lancer Evolution VIII.

Perodua Viva 4WD
Gandingan Doc Lim dan Y Anuar
berjaya menumpaskan gergasi Evo IX
di Felda Lepar Hilir, Kuantan

Lebih membanggakan lagi, mereka berjaya mendahului gandingan pemandu veteran Gunaseelan Rajoo dan Mitsubishi Lancer Evolution IX yang merupakan kereta paling berkuasa di Kuantan.

Menurut Lim, Viva 4WD Turbo mereka berfungsi dengan baik pada hari pertama dan hanya mengalami masalah kecil di hari kedua untuk membolehkan mereka mencatat masa yang rendah secara konsisten.

Dari seawall SS2, Lim sudahpun berjaya menguasai tempat kedua dan terus melebarkan jarak masa antara beliau dan Gunaseelan.

Mereka terus berusaha untuk mengekalkan kedudukan di hari kedua tetapi menghadapi masalah pada awal pagi akibat kerosakan pam minyak, namun begitu Lim dapat mempertahankan kedudukan podium tersebut.

“Kami juga mengalami sedikit kerosakan pada gantungan enjin dan sistem suspensi yang memaksa kami memandu dengan lebih berhati hati.

“Saya berasa lega kerana dapat menamatkan hari kedua dengan mengekalkan tempat kedua,” katanya.

Pasangan Lim dan Khairul Anuar hampir kehilangan tempat kedua apabila mereka terlanggar tebing dan kereta hampir terbalik tetapi tindakan pantas Lim berjaya menyelamatkan keadaan.

Bagi Khairul pula, hari kedua adalah mencabar kerana keadaan laluan berbeza dari hari pertama akibat hujan yang turun di awal pagi.

“Laluan lebih licin dari semalam jadi saya menambah beberapa amaran pada nota laluan dan mengingatkan Lim supaya berhati hati dengan permukaan licin.

“Kami mempunyai perbezaan masa sebanyak empat minit dengan kereta ketiga dan ini merupakan jarak masa yang selesa yang membolehkan Lim mengekalkan kedudukan dengan mudah sekiranya tidak berlaku sebarang insiden ataupun kerosakan,” kata Khairul Anuar.

Pengurus pasukan Perodua M5, Garry Chua gembira dengan pencapaian Lim tetapi ia bukanlah keputusan yang mereka sasarkan.

Perodua Myvi 4WD Turbo
Walaupun mengalami kerosakan
tetapi berjaya menghabiskan format Super Rally
dan menambah kutipan mata pasukan Perodua M5

“Saya gembira Viva 4WD Turbo berjaya menduduki podium tetapi agak kecewa kerana masalah teknikal telah menggagalkan usaha kami untuk meletakkan Myvi 4WD Turbo yang dipandu Kan Chee Hong dan Bernard Chin di kedudukan yang lebih baik.

“Fokus kami sekarang ialah untuk membangunkan Myvi 4WD Turbo agar ia dapat menyaingi Viva 4WD Turbo yang jelas kompetitif,” katanya.

Walaupun mereka mengalami masalah dan gagal menyaingi Viva 4WD Turbo, Chin yakin pasukan Perodua M5 mampu menambah prestasi Myvi mereka sebelum pusingan seterusnya di Terengganu.

“Secara amnya, Myvi kami berfungsi dengan baik dan sekiranya tiada masalah teknikal sudah tentu kami juga boleh mencabar peserta kelas P11, tetapi saya akui bahawa Viva 4WD adalah lebih laju dan tangkas,” katanya.