Sunday, August 3, 2008

Perodua Myvi mencabar gergasi di pusingan Desaru




Perodua M5 terus membuktikan bahawa mereka mampu mencabar pasukan yang menggunakan kereta berkuasa besar dalam Kejuaraan Rali Malaysia 2008 setelah Myvi 4WD Turbo berjaya mendahului Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandu oleh pemandu veteran Gunaseelan Rajoo pada pusingan keempat di Desaru, Johor.
Pemandu Kan Chee Hong dan juruarah Wayne Cheah memulakan hari terakhir rali di tempat ketiga setelah dikenakan penalti 70 saat akibat terlewat keluar dari kawasan servis semasa hari pertama yang menyebabkan mereka ketinggalan 22 saat di belakang Gunaseelan.
Permulaan yang baik pada hari kedua membolehkan mereka mengejar dan memintas Gunaseelan selepas SS9 dan dan terus mengekalkan kedudukan tersebut hingga akhir rali di SS12 dengan kelebihan masa 1 minit 49 saat.
"Hari kedua bermula tanpa masalah dan Kan dapat menggunakan kelajuan dan ketangkasan Myvi 4WD Turbo kami dengan baik untuk mencatat masa yang pantas sepanjang hari.
"Kami memandu dengan laju tetapi berhati hati kerana laluan hari kedua juga sempit dan berliku," kata Cheah.
Laluan yang sukar dan mencabar di Desaru telah menyebabkan empat peserta terkeluar di hari pertama. Ini menyebabkan Gunaseelan serta pemandu lain turut memandu berhati hati untuk membolehkan Kan dan Cheah mengejar kedudukan.
Perodua Viva 4WD Turbo yang mengalami kerosakan teruk setelah melanggar pokok kelapa sawit semalam juga berjaya menghabiskan perlumbaan hari kedua walaupun pemandu Lim Leong Onn dan juruarah Khairul Anuar Mohd Razzali terpaksa bergelut dengan kereta mereka.
"Setelah mekanik menggantikan komponen yang rosak akibat kemalangan semalam, kami belum dapat menala suspensi dengan sebaik mungkin dan ini menyebabkan Viva 4WD Turbo agak sukar dikawal pada hari kedua.
"Lim memandu dengan sepantas mungkin sambil cuba untuk memperbaiki talaan dan prestasi kereta menjadi lebih baik setelah kami memasuki kawasan servis di sebelah pagi, walaubagaimanapun ianya tidak dapat menandingi kemampuan Viva ini sebelum perlanggaran.
"Kami memulakan hari kedua dengan sasaran menghabiskan perlumbaan dan ini telah tercapai," kata Khairul Anuar.
Walaupun kecewa dengan kemalangan yang menimpa Viva 4WD turbo, pengurus pasukan, Garry Chua gembira dengan pencapaian Myvi di tempat kedua.
"Sekiranya Viva tidak mengalami kerosakan akibat kemalangan, saya rasa ia boleh memberi cabaran hebat kepada Karamjit Singh dan Mitsubishi Lancer Evolution dan ini berdasarkan masa pantas yang dicatat oleh Lim pada dua SS pertama semalam.
Menurut Garry, kerosakan yang dialami begitu serius sehingga mereka terpaksa membina jentera lumba Viva 4WD turbo yang baru untuk meneruskan kejuaraan.
"Casis depan Viva telah rosak teruk dan kami meneruskan perlumbaan hari kedua dengan sasaran rendah sekadar menghabiskan rali.
"Casis yang bengkok menghalang kami dari menala suspense dengan betul untuk membolehkan Lim memandu dengan laju untuk hari ini.
"Pusingan seterusnya akan berlangsung pada bulan Oktober, ini memberi kami cukup masa untuk membina sebuah jentera lumba baru dan menguji kemampuan kereta tersebut sebelum ia menyertai rali seterusnya di Kota Tinggi, Johor," katanya.

Saturday, August 2, 2008

Myvi Turbo di tempat ketiga selepas hari pertama




Pemandu Pasukan Rali Perodua M5, Kan Chee Hong dan juruarah Wayne Cheah berjaya mencatat masa ketiga terpantas setelah enam SS di hari pertama pusingan keempat Kejuaraan Rali Malaysia 2008 di Desaru, Johor walaupun terpaksa menanggung penalti 70 saat.
Tambahan masa tersebut dikenakan ke atas mereka akibat terlewat keluar dari kawasan servis selepas SS3.
"Kami mengalami masalah pada sistem pacuan empat roda setelah suhu di dalam kotak gear pembahagi (centre differential) melebihi had selamat dan ini telah merosakkan gear. Proses menggantikan komponen yang rosak mengambil masa yang lama dan ini menyebabkan kami terlewat keluar dari kawasan servis," kata Cheah.
Tanpa penalti tersebut, catatan masa Myvi 4WD turbo adalah kedua terpantas, di belakang pendahulu rali, Karamjit Singh. Kini mereka berada 22 saat di belakang peserta tempat kedua Gunaseelan Rajoo.
"Sasaran kami esok ialah untuk mengejar dan mendahului Gunaseelan dan kami perlu memandu sebaik mungkin kerana SS 7 hingga SS12 adalah lebih panjang berbanding dengan laluan hari ini dan ini memberi kelebihan kepada kereta yang berkuasa besar.
Laluan hari pertama yang berliku, berlopak dan sempit telah memerangkap empat kereta pada hari pertama setelah mereka terkeluar dari laluan dan mengalami kerosakan serius.
"Hari pertama memang mencabar kerana kami tidak mempunyai ruang untuk melakukan sebarang kesilapan, sekiranya kereta tersasar dari jalan ia akan terlanggar tebing ataupun masuk ke dalam longkang.
" Cabaran esok ialah mengejar dan mengatasi kereta yang lebih baru dan lebih berkuasa tetapi kami yakin Perodua Myvi 4WD Turbo mampu memberi saingan yang hebat kepada Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandu Gunaseelan,"katanya.
Sementara itu Lim Leong Onn dan juruarah Khairul Anuar Mohd Razzali mengalami kemalangan setelah mengalami kerosakan pada suspensi belakang Perodua Viva 4WD Turbo.
"Gandar selari (lateral rod) belakang patah ketika kami sedang memandu laju dan ini menyebabkan Lim hilang kawalan dan langsung merempuh pokok kelapa sawit. Ini menyebabkan kerosakan teruk pada kereta.
"Casis Viva mengalami kerosakan dan mekanik terpaksa menggantikan bahagian depan kereta, suspenseidepan dan juga gandar belakang yang bengkok.
"Kami akan cuba untuk meneruskan perlumbaan esok tetapi ia juga bergantung kepada keadaan tengkuk saya yang mengalami kesakitan. Doktor sudah memberi rawatan dan saya perlu mendapatkan rehat secukupnya malam ini agar dapat terus mengambil bahagian esok," katanya.
Menurut Khairul Anuar mereka telah mencatat masa enam saat lebih pantas dari Karamjit Singh dan Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandunya pada SS pertama dan masa yang sama pada SS kedua.
"Ketika memulakan SS3 kami berada di tempat pertama tetapi kerosakan pada sistem suspensi telah menyebabkan kami kehilangan kelebihan tersebut, malah tidak dapat menamatkan perlumbaan pada hari pertama.
Pengurus pasukan Perodua M5, Garry Chua masih menaruh harapan untuk mendapat satu tempat podium keseluruhan dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh Myvi 4WD Turbo dan Kan Chee Hong.
"Catatan masa yang dibuat oleh Kan di SS adalah lebih pantas daripada yang dibuat oleh Gunaseelan dan jika beliau dapat mengekalkan rentak hari pertama, kami mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan," katanya

Friday, August 1, 2008

Perodua mengejar podium di Desaru




Setelah melakukan tinjauan litar di Desaru untuk pusingan keempat Kejuaraan Rali Malaysia 2008, pasukan Rali Perodua M5 yakin mereka berpeluang memenuhi harapan untuk menduduki dua tempat podium.
Menurut juruarah Khairul Anuar, tinjauan awal SS menunjukkan bahawa mereka akan menghadapi jalan yang agak berlopak dan kasar disamping laluan lurus yang akan memberikan kelebihan kepada kereta yang berkuasa besar.
"Keadaan laluan kali ini adalah serupa dengan keadaan di Kuantan pada tahun lalu dimana terdapat banyak bahagian yang kasar dan berlopak yang mungkin akan mengakibatkan kerosakan kepada kereta jika dipandu terlalu laju.
Tahun in SS di Kuantan telah diratakan dan permukaan baru yang licin membolehkan kereta dipandu laju tetapi ia juga telah menyababkan beberapa peserta terbabas dan langsung terkeluar dari rali.
Walaupun jalan yang dipilih menjadi SS di Desaru agak kasar, permukaan yang sedia ada akan memberi lebih cengkaman berbanding dengan permukaan yang baru diratakan dan ini akan memberi kelebihan kepada mereka yang memandu dengan berhati hati.
"Kami sudah mengenalpasti semua bahagian laluan yang berpotensi merosakkan kereta dan sudah membuat nota yang lengkap.
"Kombinasi laluan yang sukar dan laju memberikan kami peluang untuk menduduki tempat yang baik tetapi semuanya bergantung kepada apa yang berlaku ketika perlumbaan.
"Agak sukar untuk saya membuat ramalan tentang peluang kami dengan tepat tetapi bolehlah dikatakan bahawa kami mempunyai kelebihan di segmen yang berliku kerana jentera lumba Perodua memang sesuai untuk keadaan tersebut.
"Walaubagaimanapun jentera kami menggunakan kotak gear bernishbah tinggi yang menghasilkan pecutan tinggi tetapi ia menghadkan kelajuan maksima, oleh itu penting kami perlu berusaha untuk mencatat kelebihan masa ketika di laluan berliku.
Pengurus Pasukan, Garry Chua mahu melihat kedua dua jentera Perodua Viva 4WD Turbo dan Myvi 4WD Turbo menduduki podium keseluruhan walaupun terpaksa bertarung dengan dua Mitusbishi Lance Evolution yang jauh lebih berkuasa.
Belaiu yakin persiapan rapi yang dilakukan oleh pasukan sepanjang bulan ini akan medatangkan hasil di Desaru.
Perodua M5 juga telah membuat keputusan untuk menyertai pusingan kali ini dengan dua buah kereta sahaja kerana strategi tersebut telah nyata berhasil di pusingan ketiga di Kuantan.
"Jika kami menggunakan tiga kereta, para mekanik tidak dapat memberikan tumpuan sebaiknya kepada semua jentera kerana kesuntukan masa, dengan mengurangkan beban mereka kami telah berjaya memberi lebih perhatian kepada dua kereta dan ini membolehkan kerosakan besar dan kecil dibaiki dengan baik," kata Chua.
Perodua M5 telah menabah kuasa jentera Myvi 4WD Turbo bagi membolehkannya bersaing dengan Viva 4WD Turbo yang jelas kompetitif walaupun terpaksa berhadapan dengan kereta berkuasa besar.
Disamping itu, mereka juga menghalusi persiapan untuk Viva 4WD Turbo bagi menjadikannya lebih lasak.
Mereka juga telah menguatkan lagi system suspensi bagi menghadapi laluan lasak di Desaru dan kombinasi perubahan teknikal ini dipercayai mampu menjadikan mereka lebih berdaya saing.
Pusingan ketiga Kejuaraan Rali Malaysia 2008 di Desaru telah dilepaskan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said semalam (Jumaat) dan akan berakhir pada hari Ahad.
Inilah kali pertama Kejuaraan Rali Malaysia beraksi di Desaru dan ini menjanjikan pertarungan sengit dan menarik.
Untuk maklumat tambahan sila layari http://p2rally.blogspot.com