Wednesday, July 30, 2008

Pusingan Desaru dijangka laju dan mencabar



Pusingan keempat Kejuaraan Rali Malaysia 2008 akan menjelajah ke pelusuk baru dan memperkenalkan bandar peranginan Desaru sebagai destinasi pertarungan yang menjanjikan perlumbaan yang menarik.
Menurut pengurus Pasukan Rali Perodua M5, Garry Chua laluan di Desaru memiliki banyak persamaan dengan ladang kelapa sawit Lepar Hilir, Kuantan yang menjadi tuan rumah pusingan ketiga.



Garry Chua


“Menurut tinjauan awal pemandu kami, laluan di Desaru agak keras dan laju dan pada pendapat mereka ia hampir sama dengan laluan yang digunakan di Kuantan.
“SS baru di Desaru juga bermakna ia baru selesai diratakan dan ini menambah lagi persamaan antara pusingan ini dan yang sebelumnya.
“Laluan yang baru diratakan sudah tentu membolehkan kereta dipandu lebih laju, tetapi pada masa yang sama ia juga adalah lebih licin dan ini merupakan perkara yang perlu diambil kira oleh para peserta.
Chua yakin jentera Perodua Myvi 4WD Turbo dan Viva 4WD Turbo dijangka dapat memberi saingan kepada semua peserta lain, termasuklah mereka yang memiliki enjin yang jauh lebih besar.
“Seperti biasa kami optimistik dengan peluang pasukan, pada hujung minggu ini kami berharap dapat meletakkan dua kereta di atas podium keseluruhan.



“Kami berusaha keras sepanjang tempoh antara pusingan bagi memperbaiki prestasi kedua dua jentera dan sudahpun bersedia untuk bertarung.
Tumpuan para mekanik dan juruteknik pasukan difokuskan ke arah usaha menambah kuasa enjin Myvi 4WD Turbo bagi membolehkan ia bersaing dengan Viva 4WD Turbo yang kini merupakan tonggak pasukan Perodua M5.
“Selain dari menambah kausa pada Myvi 4WD Turbo, para mekanik juga sedang memperhaluskan talaan dan binaan kereta ini agar ia dapat dipandu dengan lebih jitu dan dapat bertahan ketika melalui laluan keras di Desaru.
“Tumpuan juga diberikan kepada sistem suspensi yang perlu dijadikan lebih lasak bagi menempuh laluan mencabar di Desaru,” tambah Chua lagi.


Wayne Cheah

Bagi juruarah, Wayne Cheah yang akan berganding dengan Kan Chee Hong buat kali kedua, isu laluan baru bukanlah sesuatu yang besar.
“Pada saya ia serupa seperti laluan sebelum ini, yang pentingnya saya perlu memastikan nota pemanduan lengkap supaya ia dapat membantu Kan memandu dengan laju tetapi selamat.
“Hakikatnya, semua nota dicatat menurut kehendak pemandu dan sekiranya mereka memerlukan lebih banyak petanda mengenai SS, tugas saya ialah memastikan ianya diberikan semula kepada pemandu ketika bersaing.
“Walaupun saya tidak pernah melalui laluan di Desaru, ia tak sepatutnya memberi masalah kerana kami faham tugas kami,” katanya.





Pusingan keempat akan dilepaskan pada malam ini (jumaat) oleh Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Osman Said.

No comments: