Saturday, August 2, 2008

Myvi Turbo di tempat ketiga selepas hari pertama




Pemandu Pasukan Rali Perodua M5, Kan Chee Hong dan juruarah Wayne Cheah berjaya mencatat masa ketiga terpantas setelah enam SS di hari pertama pusingan keempat Kejuaraan Rali Malaysia 2008 di Desaru, Johor walaupun terpaksa menanggung penalti 70 saat.
Tambahan masa tersebut dikenakan ke atas mereka akibat terlewat keluar dari kawasan servis selepas SS3.
"Kami mengalami masalah pada sistem pacuan empat roda setelah suhu di dalam kotak gear pembahagi (centre differential) melebihi had selamat dan ini telah merosakkan gear. Proses menggantikan komponen yang rosak mengambil masa yang lama dan ini menyebabkan kami terlewat keluar dari kawasan servis," kata Cheah.
Tanpa penalti tersebut, catatan masa Myvi 4WD turbo adalah kedua terpantas, di belakang pendahulu rali, Karamjit Singh. Kini mereka berada 22 saat di belakang peserta tempat kedua Gunaseelan Rajoo.
"Sasaran kami esok ialah untuk mengejar dan mendahului Gunaseelan dan kami perlu memandu sebaik mungkin kerana SS 7 hingga SS12 adalah lebih panjang berbanding dengan laluan hari ini dan ini memberi kelebihan kepada kereta yang berkuasa besar.
Laluan hari pertama yang berliku, berlopak dan sempit telah memerangkap empat kereta pada hari pertama setelah mereka terkeluar dari laluan dan mengalami kerosakan serius.
"Hari pertama memang mencabar kerana kami tidak mempunyai ruang untuk melakukan sebarang kesilapan, sekiranya kereta tersasar dari jalan ia akan terlanggar tebing ataupun masuk ke dalam longkang.
" Cabaran esok ialah mengejar dan mengatasi kereta yang lebih baru dan lebih berkuasa tetapi kami yakin Perodua Myvi 4WD Turbo mampu memberi saingan yang hebat kepada Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandu Gunaseelan,"katanya.
Sementara itu Lim Leong Onn dan juruarah Khairul Anuar Mohd Razzali mengalami kemalangan setelah mengalami kerosakan pada suspensi belakang Perodua Viva 4WD Turbo.
"Gandar selari (lateral rod) belakang patah ketika kami sedang memandu laju dan ini menyebabkan Lim hilang kawalan dan langsung merempuh pokok kelapa sawit. Ini menyebabkan kerosakan teruk pada kereta.
"Casis Viva mengalami kerosakan dan mekanik terpaksa menggantikan bahagian depan kereta, suspenseidepan dan juga gandar belakang yang bengkok.
"Kami akan cuba untuk meneruskan perlumbaan esok tetapi ia juga bergantung kepada keadaan tengkuk saya yang mengalami kesakitan. Doktor sudah memberi rawatan dan saya perlu mendapatkan rehat secukupnya malam ini agar dapat terus mengambil bahagian esok," katanya.
Menurut Khairul Anuar mereka telah mencatat masa enam saat lebih pantas dari Karamjit Singh dan Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandunya pada SS pertama dan masa yang sama pada SS kedua.
"Ketika memulakan SS3 kami berada di tempat pertama tetapi kerosakan pada sistem suspensi telah menyebabkan kami kehilangan kelebihan tersebut, malah tidak dapat menamatkan perlumbaan pada hari pertama.
Pengurus pasukan Perodua M5, Garry Chua masih menaruh harapan untuk mendapat satu tempat podium keseluruhan dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh Myvi 4WD Turbo dan Kan Chee Hong.
"Catatan masa yang dibuat oleh Kan di SS adalah lebih pantas daripada yang dibuat oleh Gunaseelan dan jika beliau dapat mengekalkan rentak hari pertama, kami mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan," katanya

No comments: