Friday, May 23, 2008

Nanda nantikan hujan di Perlis

SURESH DAN NANDA: Tumpukan perhatian menamatkan perlumbaan di podium untuk kelas

Sebagai pemandu kereta berenjin paling kecil dalam pasukan rali Perodua M5, sudah tentu P. Nandakumar mahukan kelebihan kuasa yang berada di tangan pesaing lain dikurangkan.

Harapan itu akan termakbul sekiranya langit terbuka dan mencurahkan hujan yang cukup lebat untuk melencunkan laluan pusingan kedua Kejuaraan Rali Malaysia 2008 di Perlis dan menukarnya menjadi medan berlumpur.

“Jika laluan basah dan berlumpur, kelebihan kuasa menjadi kurang bermakna kerana semua pemandu terpaksa lebih berhati hati dan melalui SS dengan lebih perlahan.

NANDA: Laluan kering memberi kelebihan kepada kereta berkuasa besar

“Keadaan ini berlaku pada tahun lepas dan jelas ia memberikan kelebihan kepada kereta berkuasa kecil seperti Myvi 2WD yang saya pandu. Laluan berlumpur membolehkan kami menggunakan ketangkasan Myvi dalam selekoh untuk menduduki tempat ke empat keseluruhan.

“Jika keadaan kering, kereta berenjin besar akan meninggalkan kami kerana laluan di Perlis banyaknya lurus dan laju dan ini membolehkan mereka menggunakan kelebihan kuasa sepenuhnya.

Gelanggang yang melalui ladang tebu di negeri kecil ini sememangnya bukan tempat kegemaran jentera lumba Perodua yang lebih gemarkan selekoh berliku daripada laluan lurus.

Keadaan cuaca yang kering sepanjang minggu menyejatkan harapan Nanda untuk berlumba di dalam lumpur tetapi katanya, langit Perlis masih menjanjikan hujan dengan menunjukkan awan gelap pada petang semalam (Jumaat).

“Semasa kami memeriksa laluan, semuanya kering dan ini menjanjikan perlumbaan yang laju dan ini sudah tentu menggembirakan penonton yang datang.

“Keadaan kering tidaklah mendatangkan mudarat kepada peluang kami untuk menduduki tempat terbaik dalam kelas tetapi ia tidak membantu kami dalam menduduki tangga yang tinggi secara keseluruhan kerana masa kami akan dibandingkan dengan semua pelumba lain, termasuklah mereka yang memandu kereta berenjin besar.

“Saya amat berharap langit gelap akan membawa hujan besok supaya kami mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menduduki tempat yang tinggi secara keseluruhan. Krew pasukan kami telah membuat pelbagai perubahan kepada kereta kami jadi kamu mahu membawa pulang kejayaan.

Bila ditanya tentang sasaran hujung minggu ini, Nanda tegas menyatakan yang mereka mahu memenangi kelas P10 dan menaruh harapan podium keseluruhan sekiranya nasib menyebelahi mereka.

Kelas P10 melingkupi kereta yang berenjin sehingga 1600cc.

“Mungkin agak susah untuk kami menduduki podium tetapi sekiranya saya berjaya memandu dengan baik, tanpa kehilangan terlalu banyak masa, mungkin ada kejadian yang boleh melonjakkan kami ke podium.

“Dalam rali apa pun boleh berlaku, yang pentingnya saya dan juruarah Suresh Sharma perlu menumpukan perhatian kepada mengurangkan masa perlumbaan bagi membolehkan kami berada di posisi untuk mengambil sebarang kesempatan yang mungkin muncul,” tambahnya lagi.

“Yang pastinya saya mahu menduduki tempat teratas dalam kelas,” kata Nanda.

No comments: