Saturday, June 28, 2008

Laluan lebih terbuka mencabar Perodua M5

Pasukan Rali Perodua M5 optimis mereka akan menguasai kelas masing masing walaupun terpaksa menghadapi cabaran tambahan di pusingan ketiga Kejuaraan Rali Malaysia 2008 di Kuantan yang menggunakan laluan yang lebih terbuka, lebar dan rata.

Menurut juru arah Bernard Chin yang akan berpadu dengan Kan Chee Hong memandu kereta Perodua Myvi 4WD Turbo, laluan yang bakal digunakan adalah sama seperti tahun sebelumnya tetapi banyak perubahan sudah dilakukan untuk memperbaikinya.

Bernard CHIN

“Dari satu segi, memanglah laluan tahun ini kelihatan lebih baik kerana ianya lebar dan rata tetapi keadaan ini akan mengurangkan kelebihan yang kami biasa nikmati di Kuantan yang dulunya menjanjikan jalan yang berliku dan sempit.

“Laluan yang lebih lebar dan rata memberi kelebihan kepada mereka yang memandu jentera yang berkuasa tinggi kerana ia membolehkan mereka memacu dengan lebih laju.

“Pasukan Perodua dengan jentera lumba yang kecil tetapi tangkas lebih menggemari laluan sempit dan berliku kerana ia membolehkan kami menggunakan kelebihan yang dimiliki.

“Sedikit sebanyak, kelebihan kami terhakis oleh perubahan terhadap laluan tahun ini namun ini tidak melemahkan semangat kami untuk menguasai kelas masing masing dan usaha untuk menjejaki podium keseluruhan.

“Saya kira peluang kami untuk mendahului kelas tetap cerah tetapi kebarangkalian untuk menduduki podium mungkin sedikit terjejas tetapi ini tidak bermakna ianya mustahil ataupun sukar berlaku.

“Sudah tentu peluangkami lebih cerah sekiranya jentera kami berenjin lebih besar tetapi kami Pasukan Perodua yang sememangya bertaruh dengan keupayaan jentera berjenama sendiri oleh itu kami akan menyambut cabaran ini dengan penuh semangat.

“Kami bersedia untuk pusinganketiga dengan jentera yang sudah terbukti dan sebenarnya kami mempunyai peluang yang cerah untuk mencatat keputusan terbaik, yang pentingnya kami berusaha dan menghabiskan rali dengan masa terpantas.

“Dalam temph dua hari macam macam boleh berlaku dan sebagai pelumba kami sentiasa beringat bahawa untuk menang kami perlu menamatkan perlumbaan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pusingan kedua di Kangar, kereta berenjin kecil Perodua mengalami pelbagai masalah teknikal namun mereka Berjaya mencatat masa lebih pantas dari juara rali kebangsaan, Karamjit Singh dalam beberapa SS.

Karamjit Singh memandu Mitsubishi Lancer Evolution VII yang jauh lebih berkuasa daripada Perodua Myvi dan Viva yang dipertaruhkan oleh pasukan Perodua M5.

Hakikat inilah yang terus memberi keyakinan kepada pasukan Perodua M5 bahawa jentera mereka sememangya mampu mencabar kereta yang jauh lebih berkuasa.

KAN Chee Hong

Chin yang telah membuat tinjauan laluan semalam berkata perubahan pada laluan SS di Kuantan menjanjikan rali yang lebih mengujakan untuk penonton dan juga pelumba kerana ia membolehkan semua kereta dipandu dengan lebih laju dan agresif.

“Memang tak dinafikan perlumbaan di Kuantan tahun ini mungkin lebih seronok kerana laluannya lebih sempurna tetapi hakikatnya kami perlu berusaha lebih gigih dan memastikan tidak banyak kesilapan dilakukan,” kata Chin lagi.

Bagi memastikan keputusan cemerlang, pasukan Perodua telah mengambil keputusan untuk menyertai pusingan ketiga dengan hanya dua kereta bagi membolehkan mekanik dan kru dapat menumpukan lebih perhatian kepada apajua masalah yang mungkin dihadapi.

“Keadaan di Perlis di mana pasukan terpaksa menghadapi begitu banyak masalah telah menyebabkan kami berfikir semula tentang strategi tahun ini dan keputusan yang dicapai melibatkan pengurangan penyertaan di setiap pusingan.

“Kini mekanik pasukan hanya perlu menumpukan perhatian kepada Myvi 4WD Turbo dan Viva 4WD Turbo dan tak perlu lagi risau tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh jentera ketiga,” jelas Chin.

No comments: